Menara penyejuk bangunan MARA yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Norizuan Shamsuddin


PENGUNJUNG dan pekerja di bangunan MARA, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, panik apabila melihat asap tebal akibat kebakaran menara penyejuk di tingkat 27 bangunan terbabit, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan terdapat kebakaran yang berlaku di bangunan berkenaan, jam 3.38 petang.

Katanya, seramai 15 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa serta BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi bagi bantuan memadamkan api.

"Apabila tiba di lokasi anggota mendapati terdapat asap tebal hitam keluar dari tingkat atas bangunan terbabit.

"Pemeriksaan mendapati kebakaran berlaku membabitkan menara penyejuk yang tidak lagi berfungsi yang berada di tingkat paling atas bangunan MARA terbabit.

"Kebakaran juga sudah dipadamkan sepenuhnya oleh pengurusan bangunan terbabit, jam 1.53 petang dan kebakaran menyebabkan menara penyejuk terbabit terbakar hampir 90 peratus tetapi tidak membabitkan mangsa," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 4:44 PM