MANGSA menerima rawatan di hospital (kiri) dan rumah mangsa hangus dijilat api. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI melecur pada muka akibat terkena minyak panas di rumahnya di Parit Baru, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, 8.15 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, mangsa, Mohd Nazif Saurani, 48, dikatakan cuba membuang minyak panas sebelum tergelincir.

"Insiden berkenaan menyebabkan minyak dari kuali berkenaan tumpah dan terkena pada muka mangsa.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Mohd Saufi berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam kejadian itu, rumah keluarga berkenaan turut musnah dijilat api.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Muntingah Sardi, 68, berkata, ketika kejadian, dia sedang membaca surah Yasin sebelum terdengar jeritan Mohd Nazif memberitahu api menyambar kuali yang mengandungi minyak di dapur masak itu.

"Dia mengangkat kuali itu dan mahu mencampakkannya ke luar rumah manakala saya mencabut kepala tong gas dan mengangkatnya ke luar.

"Ketika cuba membuang kuali itu, Mohd Nazif bagaimanapun tergelincir dan minyak panas itu tertumpah pada mukanya," katanya.

Menurutnya, dia kemudian meminta bantuan ahli keluarga dan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital kerana suaminya, Mohd Towir Sajuri, 79, berada di surau berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 5:28 PM