Muzium Dar Al-Madinah.
REPLIKA bekas air mandi dan bekas wuduk yang digunakan Rasulullah.
GAMBARAN proses pengebumian dilakukan di Perkuburan Baqi’ Madinah.
MODEL Masjdi Nabawi yang terdapat di Muzium Dar Al-Madinah.
Nasharuddin Muhammad


Berkunjung ke kota kedua paling suci umat Islam, Madinah sebenarnya mempunyai banyak lokasi menarik yang boleh dikunjungi jemaah umrah mahupun haji.

Selama ini, mereka yang menziarahi Kota Suci ini hanya mengetahui Masjid Nabawi kerana di situ terletaknya Makam Rasulullah SAW serta dua sahabat baginda - khalifah pertama Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan khalifah kedua Saidina Umar Al-Khattab.

Selain itu, Perkuburan Al-Baqi’, Masjid Quba, Masjid Qiblatain atau Masjid Dua Kiblat, Masjid Tujuh yang mempunyai kaitan dengan Perang Khandak serta Bukit Uhud dan Bukit Pemanah yang mempunyai kaitan dengan Perang Uhud.

Bagaimanapun, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Madinah juga mempunyai banyak muzium menempatkan pelbagai artifak dan dokumen penting mengenai sejarah kota suci itu yang pernah menjadi negara Islam pertama diasaskan baginda Rasulullah SAW.

Cuma, sesetengahnya kurang mendapat perhatian atau diketahui kewujudannya berikutan kekurangan hebahan mengenainya.

Antara muzium yang terkenal ialah Muzium Dar Al-Madinah. Istimewanya muzium itu kerana ia menawarkan pelbagai maklumat dan fakta penting berkaitan sirah dan perjuangan baginda Rasulullah SAW dalam bentuk model diorama serta struktur mini, sekali gus menjadikan kunjungan pelawat tidak membosankan.

Pelawat yang datang ditawarkan pilihan petugas yang fasih pelbagai bahasa sama ada Arab, Urdu atau Inggeris untuk memberikan penerangan mengenai sejarah, kehidupan dan perjuangan baginda sejak pembukaan kota Makkah sehinggalah penghijrahan baginda ke Madinah dan mengasas negara Islam pertama seterusnya hingga kewafatan baginda.

Penerangan yang diberikan petugas menggunakan model diorama dan struktur mini berkenaan bukan saja menarik dan tidak membosankan, malah mampu menjadikan pengunjung seolah-olah berada pada zaman berkenaan.

Malah, penggunaan model diorama dan struktur mini berkenaan mampu membuatkan pengunjung memahami sejarah diceritakan dengan mudah dan lancar kerana dapat membayangkan serta melihat keadaan dan suasana ketika itu.

Berikutan itu, tidak keterlaluan dikatakan dengan melawat muzium berkenaan, banyak maklumat diperoleh termasuk sesetengahnya yang mungkin tidak diketahui atau tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Antara yang paling menggamit penulis ialah evolusi pembinaan Masjid Nabawi sejak mula diasaskan oleh baginda sehinggalah kepada bentuknya yang ada sekarang, laluan penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah, evolusi pembinaan Kaabah serta banyak lagi.

Turut ditunjukkan struktur mini rumah isteri baginda yang terletak berhampiran masjid sehinggalah akhirnya bercantum dengan masjid yang kini menempatkan makam baginda yang terletak di bawah kubah hijau Masjid Nabawi.

Satu-satunya bahan bersejarah tulen yang terdapat di muzium berkenaan ialah tandu yang membawa kiswah atau kain penutup Kaabah yang asal dari Mesir ke Makkah yang kini berusia lebih 230 tahun.

Manakala yang lain adalah bahan replika termasuk naskhah al-Quran Uthmani yang terdapat darah khalifah ketiga Saidina Uthman bin Affan yang wafat dibunuh Yahudi. Naskhah asal al-Quran berkenaan kini ditempatkan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki.

Pengurus Muzium Dar Al-Madinah Soleiman Mohamed Soleiman berkata, muzium berkenaan dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari jam 9 pagi hingga 9 malam dengan dikenakan bayaran SR35 (RM40.25).

Menurutnya, antara bahan pameran utama terdapat di muzium itu ialah berkaitan biografi kehidupan sehinggalah kewafatan Rasulullah SAW dalam bentuk replika diorama serta struktur mini sejak zaman Nabi Ibrahim AS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:41 AM