ABDUL Azeez Abdul Rahim bersama pelajar sekolah ketika Program Gempur Denggi di Sekolah Kebangsaan Lanai, Parit Panjang. FOTO Safuri Kamarudin
ABDUL Azeez Abdul Rahim bersama pelajar sekolah ketika Program Gempur Denggi di Sekolah Kebangsaan Lanai, Parit Panjang. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


SEBANYAK 513 kes demam denggi direkodkan di Kedah sejak awal Januari hingga Mei tahun ini berbanding 307 kes dalam tempoh sama tahun lalu, menunjukkan peningkatan 67.1 peratus.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, statistik itu amat membimbangkan walaupun daerah Baling tidak menunjukkan peningkatan yang ketara.

Bagaimanapun langkah berjaga-jaga harus dilakukan supaya iatidak merebak dan mengancam kesihatan penduduk, katanya

"Malah Baling turut tersenarai sebagai tiga daerah diserang penyakit chikungunya iaitu 69 kes di daerah ini sahaja setakat ini manakala Kuala Muda dan Kulim masing-masing menerima 58 dan satu kes.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi dan chikungunya kerana kepadatan penduduk, pembuangan sampah dan sisa pepejal yang tidak terurus," katanya ketika berucap merasmikan Program Gempur Denggi di Sekolah Kebangsaan Lanai, Parit Panjang, Baling di sini, hari ini.

Abdul Azeez berkata, murid sekolah perlu dididik menjaga kebersihan dan menjelaskan kesan apabila menghidap demam denggi yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan segera.

"Sebab itu kita turun padang hari ini dan bersama dengan murid supaya mereka juga bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.

"Apabila pulang ke rumah mereka perlu membantu ibu bapa membersih kawasan rumah bagi mengelakkan air bertakung yang menjadi tempat pembiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 4:14 PM