GAMBAR hiasan


POLIS menyelamatkan lelaki Bangladesh yang diculik, dikurung dan diikat menggunakan tali dan rantai besi oleh rakan senegara di Seri Alam, 30 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, dalam kejadian 11.50 malam itu mangsa berusia 40 tahun berada di bawah flat di Plentong sebelum tiba-tiba didatangi beberapa lelaki.

"Mangsa dipukul dan diheret ke dalam kereta sebelum dilarikan ke kawasan yang tidak diketahui mangsa dan dikurung.

"Suspek kemudiannya menghubungi rakan serumah mangsa dan meminta RM3,000 sebagai bayaran untuk membebaskan mangsa.

"Bimbangkan keselamatan mangsa, rakannya itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seri Alam," katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan polis itu dan hasil siasatan yang dijalankan, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam menyerbu rumah kontena di Kangkar Tebrau.

Dalam serbuan 5.45 petang, 31 Julai itu, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 35 dan 37 tahun yang menjaga mangsa.

"Kami turut merampas rantai besi dan tali yang digunakan suspek untuk mengikat mangsa dan usaha mengesan rakan-rakan lain suspek giat dilakukan.

"Kami berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 17 jam selepas menerima laporan dan kurang 30 jam selepas kejadian hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat tepat dan intipan yang dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (menculik dan melarikan seseorang dengan niat mahu mengurung dengan sulit dan salah)," katanya.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan sehingga 14 Ogos ini mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:59 PM