SUASANA berhampiran muara Kuala Dungun dan Mohd Shazrin (gambar kecil) yang selamat selepas berenang ke darat. FOTO Rosli Ilham


EMPAT nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Kuala Dungun malam tadi, dipercayai tidak pandai berenang.

Rakan mereka yang dapat menyelamatkan diri, Mohd Shazrin Yacob, 33, berkata, dia sempat menjerit supaya rakan yang lain berenang ke darat apabila pegangan mereka pada bot yang terbalik terlepas selepas dipukul ombak.

"Saya berenang sejauh 300 meter sebelum tiba di darat dan saya percaya kesemua mereka itu tidak pandai berenang.

"Sebaik tiba di darat, saya melaungkan nama mereka agar berenang ke arah saya tetapi tidak kelihatan kelibatnya," katanya.

Menurutnya, empat nelayan yang hilang itu hanya dikenali sebagai Nazri, 37; Pok, 20; Wahab, 40, dan Apandi, 30.

Katanya, sebelum kejadian mereka bersama 15 lagi nelayan menaiki sebuah bot besar yang berpengkalan di Marang dalam perjalanan untuk berehat di muara Kuala Dungun.

"Akibat air cetek, bot kami itu tidak boleh masuk ke Kuala Dungun dan berlabuhkan di luar muara serta terpaksa menggunakan bot gantian kaca.

"Kami mengambil keputusan untuk memunggah kesemua nelayan itu dengan menaiki bot gentian kaca sebelum saya serta empat yang hilang itu menjadi kumpulan pertama," katanya.

Mohd Shazrin berkata, sebaik bergerak kira-kira 100 meter, bot mereka tiba-tiba dipukul ombak besar dan menyebabkan bot dinaiki terbalik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, polis yang menerima laporan bersama 20 anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Operasi terpaksa di hentian buat sementara pada tengah malam tadi dan akan disambung semula pagi esok (hari ini), "katanya.

Dalam kejadian 10 malam itu, empat nelayan dikhuatiri lemas selepas hilang apabila bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 2:27 AM