Balak yang dirampas dalam serbuan semalam. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Sarawak rampas 850 balak bernilai RM247,500 kerana tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di Sungai Lumut, Tanjung Manis, semalam.

Serbuan dijalankan 12.15 tengah hari hasil intipan sejak beberapa hari lalu selain menerima maklumat awam.

Komander PPM Wilayah Sarawak Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, serbuan dijalankan bersama pasukan penguat kuasa JHS mendapati balak berkenaan diperoleh secara haram di hutan berhampiran.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua balak tidak mempunyai cop dari JHS yang membuktikan royalti penebangan sudah dibayar kepada kerajaan negeri.

"Balak berkenaan dipercayai dikumpulkan di tepi Sungai Lumut sebelum diangkut menggunakan tongkang ke kilang pemprosesan.

"Ketika serbuan dijalankan, semua pekerja pembalakan melarikan diri kerana menghidu kehadiran pihak berkuasa di kawasan berkenaan," katanya.

Salehuddin berkata, balak yang dirampas diserahkan kepada JHS untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Katanya, kerjasama dengan JHS akan sentiasa dijalankan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi mengekang aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 11:32 AM