Najib bersama Ahmad Zahid hadir Majlis Perdana Ulama-Umara dan NGO Islam bersama Perdana Menteri di PICC. Turut kelihatan Jamil Khir. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


SKOR Indeks Syariah Malaysia tahun ini meningkat sebanyak 0.64 peratus iaitu 76.06 peratus berbanding skor 2015 iaitu 75.42 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, empat bidang iaitu kesihatan, prasarana dan persekitaran, ekonomi dan sosial mencatatkan peningkatan amat ketara dalam penyelidikan kali kedua indeks ini.

"Skor indeks dalam bidang lain secara keseluruhannya masih berada pada tahap yang memberangsangkan.

"Syukur Alhamdulillah, ini adalah pencapaian yang kita harapkan untuk terus memandu kerajaan mentadbir negara selaras dengan Maqasid Syariah," katanya ketika berucap pada Majlis Ulama-Umara-NGO Islam dan Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran saintifik yang menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan usaha kerajaan dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan.

Najib berkata, penyelidikan kali kedua indeks syariah itu membabitkan 222 penyelidik daripada enam Universiti Awam (UA), dengan jumlah responden keseluruhan adalah 27,290, pembuat dasar seramai 2,280, pelaksana dasar (6,555) dan masyarakat seramai 18,457.

Menariknya, beliau berkata, jumlah responden tahun ini terdiri daripada bukan Islam dan Islam, manakala 50 peratus responden terdiri daripada mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun.

Menurutnya, beberapa dapatan penting dalam indeks ini membuktikan usaha dan inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan memberi impak dan maslahah kepada rakyat.

"Dalam bidang kesihatan, dari aspek menjaga agama skor sebanyak 92 peratus dicapai dengan kerajaan menyediakan kemudahan beribadat kepada rakyat di semua klinik dan hospital kerajaan.

"Dalam bidang prasarana dan persekitaran pula, penilaian sebanyak 86.7 peratus diberikan kerana kerajaan sentiasa mengutamakan aspek menjaga nyawa dalam dasar pengurusan sisa pepejal bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan hidup masyarakat.

"Bagi bidang sosial, penilaian sebanyak 82 peratus diberikan kerana kerajaan sentiasa memberi kemudahan kepada rakyat dalam aktiviti keagamaan mengikut Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, dalam bidang ekonomi pula, kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam memastikan rakyat bukan saja dapat manfaat terbaik hasil daripada kemajuan negara malah tidak terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, apa yang menarik dari aspek menjaga harta mengikut prinsip Maqasid Syariah, rakyat berpuas hati dengan inisiatif kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan PR1MA berjaya mengurangkan beban kewangan rakyat.

"Dapatan dalam bidang politik dari aspek menjaga agama mendapat penilaian sebanyak 92 peratus membuktikan kerajaan berjaya meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam memastikan kestabilan politik negara.

"Dalam menjaga nyawa pula, penilaian sebanyak 86 peratus dicapai kerana kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan negara," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan pencapaian indeks kelapan-lapan bidang iaitu, pendidikan (80.12 peratus); perundangan (84.91 peratus); ekonomi (65.46 peratus); politik (74.7 peratus); kesihatan (77.79 peratus); sosial (72.28 peratus); budaya (64.67 peratus) dan prasarana dan persekitaran (72.89 peratus).

"Saya berharap agenda dan transformasi negara dapat menggunakan elemen Maqasid Syariah supaya selari dengan pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama Indeks Syariah antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kewangan melalui Unit Strategik Kebangsaan untuk menyebarluaskan lagi pelaksanaan Indeks Syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 11:59 AM