AHLI keluarga mangsa bersama penduduk setempat menunggu berita pencarian empat nelayan. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur hari ini menggerakkan dua kapal bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca dinaiki karam di muara Kuala Dungun, malam tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee berkata, dua kapal itu ialah KD Bagagak dan Penggalang 17 digerakkan sebaik pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

"Kita terima laporan bot yang karam dipukul ombak sebelum bergerak ke lokasi.

"Kita lakukan pencarian dalam lingkungan 10 batu nautika dari muara Kuala Dungun," katanya.

Menurutnya, operasi pencarian turut mengambil kira keadaan cuaca dan pengerakan arus.

"Seramai 70 anggota terbabit dalam operasi ini yang terdiri daripada APMM, bomba, polis, TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) selain nelayan," katanya.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat menjangkakan semua empat nelayan yang masih hilang dapat ditemui dalam tempoh 24 jam ini.

Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azmi Abdul Rahim berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada keadaan cuaca dan arus laut.

"Cuaca berangin dan laut bergelora hingga mencecah 2.5 meter menyukarkan operasi pencarian dilakukan termasuk membabitkan selaman.

"Kita menumpukan pencarian di kawasan bot gentian kaca yang ditemui pagi tadi," katanya di Pantai Kuala Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 10 malam tadi, empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Bagaimanapun, seorang lagi dapat menyelamatkan diri selepas berenang hampir tiga jam ke daratan.

Mangsa yang masih hilang ialah Mohd Nazri Yaccob, 37; Che Mohd Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 27 dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Berita berkaitan:

'Apalah nasib cucu bakal lahir...' [UPDATE]

Hanya jumpa bot [METROTV]

Dipercayai tak pandai berenang [UPDATE]

4 nelayan dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 5:31 PM