Guan Eng (tengah) bersama Exco, Ahli Parlimen dan ADUN membaca ikrar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah sambil dilihat Dzulkifli (empat dari kiri). FOTO Mikail Ong
Guan Eng (tengah) bersama Exco, Ahli Parlimen dan ADUN membaca ikrar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah sambil dilihat Dzulkifli (empat dari kiri). FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli


KERAJAAN negeri Pulau Pinang hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan tambahan 10 langkah integriti dalam satu majlis di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown.

Lafaz ikrar diketuai Ketua Menteri Lim Guan Eng bersama Exco, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali wakil pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) kerana dipercayai tidak menerima undangan.

Lafaz dilakukan di hadapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Dzulkiffli berkata, beliau mengambil berat terhadap Pulau Pinang berikutan beliau adalah anak kelahiran negeri ini iaitu di Kepala Batas.

"Saya mencetuskan idea IBR ini dalam usaha menghapuskan rasuah dan sudah tentu akan kecewa jika negeri kelahiran saya tidak mahu terbabit dalam hal ini," katanya kepada media, di sini.

Dalam akhbar baru-baru ini, Dzulkifli dilaporkan berkata, SPRM kesal dengan keengganan kerajaan negeri Pulau Pinang menandatangani IBR bagi menunjukkan komitmen dalam memerangi musuh nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, IBR yang sepatutnya dilakukan pada minggu lalu ditunda kepada hari ini, berikutan Dzulkifli tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 11:58 AM