Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah sebaik keputusan dibacakan. FOTO Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi


SARJAN polis didenda RM10,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima suapan, September lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Firdaus Sulaiman, 29, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didapati secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM1,500 daripada seorang wanita sebagai dorongan tidak melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya.

Tindakan itu adalah melupuskan barang kes iaitu air kencing anak wanita itu yang ditangkap kerana terbabit dengan dadah.

Perbuatan itu dilakukan di Balai Polis Melaka Tengah, pada 6.30 petang, 22 September 2016.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mengikut mana-mana yang tinggi.

Tertuduh yang diwakili peguam Haslinda Abu Bakar merayu agar peluang kedua diberikan kerana dia silap pertimbangan ketika kejadian .

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Diyanah Mohd Nawawi bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar tidak terlalu mengambil kira kesusahan hidup tertuduh meskipun dia benar-benar terdesak kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sehari serta didenda RM10,000, dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 5:29 PM