ABDUL Wahab (kiri) dan Che Mohd Afendi dipercayai lemas bersama seorang lagi nelayan selepas bot dinaiki terbalik di pukul ombak. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham


KIRA-KIRA 3,000 jemaah di empat masjid mengadakan solat hajat, hari ini memohon supaya tiga lagi nelayan yang hilang di muara Sungai Kuala Dungun dapat ditemui segera.

Pengerusi Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Zainun Abu Bakar berkata, solat hajat berkenaan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Dungun di empat masjid utama dalam DUN Sura iaitu Masjid Al-Naim, Masjid Tengku Intan Zaharah, Masjid Sungai Udang dan Masjid Padang Jambu.

"Solat hajat dilakukan serentak di empat masjid terbabit selepas solat Jumaat tadi yang disertai hampir 3,000 jemaah terdiri daripada penduduk berhampiran," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Zainun berkata, beliau berharap tiga lagi nelayan yang dikhuatiri lemas itu dijumpai segera selepas seorang mangsa, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, 8.50 pagi tadi.

"Saya dan warga UMNO DUN Sura harap keluarga mangsa tabah menempuh dugaan ini," katanya.

Menurutnya, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Dungun turut menghantar makan minum kepada 90 pasukan mencari danmenyelamat (SAR) yang berkampung di Pantai Kuala Dungun sejak semalam.

"Kita sediakan makan dan minum kepada petugas sehingga bilik gerakan operasi itu ditutup," katanya.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 27; dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Berita berkaitan:

'Apalah nasib cucu bakal lahir...' [UPDATE]

'Apalah nasib cucu bakal lahir...' [UPDATE]

Hanya jumpa bot [METROTV]

Dipercayai tak pandai berenang [UPDATE]

4 nelayan dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 7:35 PM