Muhammad Nur Ariff tidak sedarkan diri dirawat di HTJ.
Raja Noraina Raja Rahim


REMAJA lelaki berusia 16 tahun parah selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Dagang, Paroi, Seremban, malam tadi.

Pelajar tingkatan empat, Muhammad Nur Ariff Abd Rahim dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut bapa remaja itu, Abd Rahim Omar, 59, berkata dia mengetahui kejadian jam 8.45 malam apabila seorang rakan anaknya datang ke rumah dan menyerahkan telefon bimbit milik anaknya itu.

"Saya terkejut apabila diberitahu anak saya terbabit kemalangan. Saya segera ke lokasi dan diberitahu Ariff sudah dibawa ke hospital.

"Orang ramai memberitahu Ariff dilanggar sebuah kereta ketika di persimpangan menyebabkan dia tercampak. Pemandu itu tidak berhenti, namun ada saksi yang sempat mencatat nombor plet kenderaan," katanya ketika ditemui di HTJ, hari ini.

Ditanya mengenai tindakan pemandu itu, katanya, dia sudah membuat laporan polis dan tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Fikiran saya bercelaru apabila ramai yang bertanya selepas kejadian itu tular di laman sosial Facebook. Biarlah polis menyiasatnya, apa yang saya harapkan orang ramai mendoakan keselamatan dan kesihatan anak saya itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada pemandu kereta terbabit di Balai Polis Seremban 2.

"Pemandu terbabit mendakwa tidak berhenti dan beredar dari tempat kejadian kerana ada sekumpulan penunggang motosikal mengejarnya. Namun, selepas kejadian dia tampil membuat laporan polis.

"Siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Seremban ke Taman Margosa dilanggar kereta yang secara tiba-tiba membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat. Mangsa terjatuh dan cedera di muka, dada dan kaki," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 8:55 PM