AMIRUN menunjukkan tapak kaki besi tinggalan arwah ayahnya yang paling berharga.
KERATAN akhbar mengenai Allahyarham Adam membaiki kasut.
PERBARISAN pada pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


Kuala Pilah: “Rakyat perlu sedar keamanan dinikmati sekarang bukan boleh didapati dengan mudah, tetapi melalui pertumpahan darah perajurit serta pahlawan terdahulu,” kata Amirun Adam, 50, anak kepada seorang perwira iaitu Allahyarham Adam Yaacob.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), akibat jangkitan kuman di paru-paru dan kegagalan buah pinggang, jam 2 pagi, 19 Ogos dua tahun lalu.

Amirun, seorang tukang kasut di tengah pekan Kuala Pilah sempat berkongsi kisah dilalui arwah bapanya sepanjang berkhidmat bersama askar Melayu.

“Semasa hayatnya, arwah bukanlah calang-calang orang kerana beliau yang memegang nombor askar 6870 berjaya membunuh dua pengganas komunis menggunakan pisau benet diletakkan hujung senapangnya.

“Peristiwa itu berlaku di Sungkai, Perak dengan lapan anggota jungle squad ditembak mati komunis dan mereka masuk di belantara untuk memberi bantuan, tetapi terlebih dulu diganyang pengganas.

“Tindakan berani beliau membunuh komunis mendapat sokongan Pegawai Pemerintah Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel J G Atkinson dan menerima anugerah tertinggi Military Medal (MM) pada 5 Mei 1954.

“Penganugerahan MM disampaikan sendiri Pesuruhjaya Tinggi British Tanah Melayu ketika itu, Sir Donald MacGilivray di King House, Kuala Lumpur pada tahun 1956,” katanya memberitahu jenazah Adam dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Gunung Pasir.

Sejarah silam keberanian bapanya dikongsi ketika Amirun ditemui di kedai kasut peninggalan arwah ayahnya di pekan Kuala Pilah.

“Siapa yang tidak kenal arwah ayah. Di kedai kasut inilah menjadi lokasi arwah menceritakan bagaimana susah payah pejuang terdahulu mencapai kemerdekaan.

“Menurut arwah, generasi sekarang amat beruntung kerana dilahirkan dalam serba mewah, mudah mencari wang atau dengan erti kata yang lain semua terhidang di hadapan mata,” katanya.

Namun, katanya, arwah ayahnya tidak pernah menyalahkan sesiapa kerana itulah yang dinamakan perubahan zaman yang membawa kepada keamanan dan kemajuan negara.

“Bagaimanapun, arwah bimbang sekiranya kemerdekaan dikecapi selama ini tidak dijaga pasti anasir jahat akan mudah merosakkan jasa serta pengorbanan perwira terdahulu. Arwah berpesan, nilai kemerdekaan yang kita nikmati sekarang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.

Menurut Amirun, walaupun wajah arwah ayahnya bengis, serius dan payah tersenyum, tetapi beliau adalah seorang yang penyayang dan baik hati.

“Ayah hanya serius ketika bertugas tetapi di luar, beliau seorang yang mudah untuk berbual. Dia menjaga kami lapan beradik dengan baik dan penuh kasih sayang.

“Ayah juga mempunyai latar belakang pendidikan agama tinggi. Salah seorang guru agamanya ialah Tan Sri Hassan Azhari dan beberapa guru agama di Kelantan,” katanya.

Jelas Amirun, dia sempat belajar membaiki kasut dengan arwah ayahnya bermula tahun 2000 kerana ketika itu dia tidak mempunyai pembantu.

“Akibat kecederaan dialami ketika bertempur, pasukannya menghantar ayah untuk berkursus sebagai tukang kasut dengan seorang berketurunan Inggeris di Singapura pada tahun 1955.

“Selepas bersara daripada perkhidmatan pada 1974, ayah memberi tumpuan kepada kerjaya tukang kasut
di pekan ini dan saya adalah antara anaknya yang mewarisi ilmu daripada beliau.

“Semua peralatan yang saya gunakan sekarang adalah milik beliau. Antara peninggalan yang sangat saya sayangi adalah tapak kaki besi dan sepasang kasut yang dibaiki arwah ayah yang tidak dituntut hingga sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 3:20 AM