HAIRUL Nizan dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan wang tunai RM10,000 pada Februari tahun lalu.

Tertuduh yang berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat Hairul Nizan Mhd Idris, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Hairul Nizan didakwa menggunakan jawatannya untuk mengemukakan permohonan dan syor pembekalan syarikat Prisma Jaya Kini Resources, milik abangnya bagi majlis Tilawah al-Quran peringkat daerah Hulu Langat berjumlah RM10,000.

Perbuatan itu dilakukan pada 1 Februari 2016 di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah atau nilai suapan.

Rozilah menetapkan ikat jamin RM20,000 dan 4 September ini sebagai tarikh sebutan semula.

Terdahulu, peguam tertuduh Hamidi Mohd Noh meminta ikat jamin berkenaan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja kontrak dengan gaji RM3,000 sebulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Heikal Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 3:42 AM