Ahmad Razif (baju merah) ketika melawat keluarga mangsa yang hilang dipukul ombak. FOTO Rosli Ilham


KERAJAAN negeri Terengganu akan mendalamkan muara Kuala Dungun yang bukan hanya mendatangkan masalah kepada nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan tetapi turut mendatangkan bahaya kepada bot nelayan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membuat satu kajian sebelum kerja mendalamkan muara itu dilaksanakan.

Katanya, keadaan muara yang cetek bukan sahaja menyukarkan nelayan untuk keluar masuk tetapi mendatangkan bahaya kepada bot nelayan.

"Jadi kita minta JPS supaya membuat kajian terlebih dahulu supaya kerja mendalamkan muara itu memberi keberkesanan kepada nelayan," katanya ketika bertemu dengan keluarga mangsa bot terbalik di Kuala Dungun, petang ini.

Ahmad Razif berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan muara yang cetek dan membentuk beting pasir sehingga menyebabkan bot nelayan tersangkut.

Beliau berkata, selain Dungun, faktor muara cetek di kawasan yang lain di negeri ini turut memberi masalah mendaratkan hasil tangkapan.

"Kebanyakan nelayan akan mendaratkan hasil tangkapan mereka di Pelabuhan Tok Bali, Kelantan dan itu antara sebab Terengganu menjadi antara negeri yang paling rendah pendaratan ikan sekali gus menyebabkan harga ikan di Terengganu menjadi mahal.

"Kerajaan negeri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sedia maklum dengan masalah itu dan berharap kerajaan persekutuan dapat membantu Terengganu dalam menyelesaikan masalah berkenaan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 6:40 PM