HASSAN menyiram pusara isterinya, Sharifah Saidatul Akmam (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Semabok.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Selepas 25 hari bertahan di wad unit rawatan rapi (ICU), mangsa kebakaran kedai makan di Medan Selera Semabok, di sini, Sharifah Saidatul Akmam Syed Yahya, 42, yang melecur 80 peratus badannya menghembuskan nafas terakhir jam 3.30 pagi, semalam.

Allahyarham Sharifah Saidatul Akmam antara empat mangsa yang melecur terkena api meninggal dunia selepas menjalani beberapa siri pembedahan.

Suaminya, Hassan Jamil, 44, berkata, dia sekeluarga dimaklumkan doktor di Hospital Melaka mengenai keadaan isterinya yang nazak jam 10 malam kelmarin apabila mereka diminta ke hospital.

“Arwah isteri saya menjalani beberapa pembedahan, pertama pada lengan kanannya apabila doktor berjaya membuka salur darah rosak yang menyebabkan darah tidak mengalir ke tangan.

“Selepas itu, doktor melakukan pembedahan membuang kulit yang rosak pada badan termasuk tangan dan kaki.

“Namun apabila pembedahan membuang kulit muka yang rosak dilakukan pada Rabu lalu, keadaan jantungnya merosot bermula semalam (kelmarin) sebelum jam 10 malam, doktor panggil kami semua,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham isterinya di Tanah Perkuburan Islam Semabok, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12 Julai lalu, sebuah kedai makan di Medan Selera Semabok terbakar menyebabkan empat mangsa termasuk seorang wanita melecur dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sharifah Saidatul Akmam melecur 80 peratus dari kepala hingga kaki manakala Ahmad Mirzan Johar, 23, melecur 30 peratus dari kepala hingga perut.

Dua lagi mangsa, Muhammad Zawawie Muhammad Mustakim, 18, melecur 15 peratus manakala Ahmad Iskandar Johar, 18, yang melecur pada kening kiri dan lebam di leher hanya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 6:09 AM