USAHA mencari tiga nelayan yang masih hilang di Kuala Dungun membabitkan pelbagai agensi, masuk hari keempat hari ini. - Foto ROSLI ILHAM


MASUK hari keempat operasi pencarian tiga nelayan hilang selepas bot mereka karam di muara sungai Kuala Dungun Rabu lalu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih menemui jalan buntu.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, operasi diperluaskan sehingga 10 kilometer membabitkan Paka dan Rantau Abang, namun keadaannya masih sama.

Menurutnya, keadaan arus kuat dan angin kencang menyebabkan ombak besar setinggi 2.5 meter menyulitkan operasi membabitkan 90 petugas itu.

"Kita akan teruskan operasi ini dan berharap tiga lagi mangsa dapat ditemui," katanya.

Menurutnya, operasi di laut ditangguhkan jam 7 malam hari ini, dan akan disambung 8 pagi esok.

"Kita juga membuat operasi pemantauan di sepanjang pesisir pantai sehingga lewat tengah malam,” katanya.

Hanya mayat Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui Jumaat lalu, manakala Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, Mohamad Zawawi Mohamed, 27 dan Abdul Wahab Zakaria, 44, masih hilang.

Seorang lagi, Mohd Shazrin Yaccob, 33, dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke pesisir pantai hampir tiga jam.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Dungun, Zainun Bakar berkata, pihaknya menyalurkan bantuan makan dan minum kepada 200 petugas serta keluarga mangsa.

Katanya, makanan dan minuman disediakan empat kali sehari sejak bilik operasi dibuka.

“Hari ini, kami juga menyediakan selimut tebal kepada keluarga mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 9:46 PM