PENGUNJUNG melihat model rumah yang dipamerkan pada Pameran Hartanah Myrumah Anjuran NSTP di Pasaraya Aman Central.
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Petah Wazzan Iskandar


Alor Setar: Pameran hartanah MyRumah 2017 (MyRumah 2017) anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Aman Central, di sini, yang disertai sembilan pemaju hartanah mengumpul nilai jualan melebihi RM4 juta.

Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP S Linggaraj berkata, penganjuran MyRumah buat pertama kali di Kedah dianggap berjaya menepati sasaran sekali gus menunjukkan sektor hartanah di negeri itu mampu berkembang.

Katanya, 15 unit hartanah berjaya dijual dengan nilai terkumpul RM4,056,628 membabitkan lima daripada sembilan pemaju yang terbabit dalam pameran selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

“Kebanyakan rumah ditempah pengunjung membabitkan harga yang bermula dari RM180,000 hingga RM498,000 dan paling banyak melalui projek Taman Permai Utama di Gurun yang dibangunkan SPNB Aspirasi Sdn Bhd (SPNB Aspirasi) serta Projek Perumahan Penjawat Awam 1M dibangunkan oleh Oriental Interest Group.

“Projek Taman Permai Utama ini menyediakan rumah teres setingkat pada harga kompetitif dan mampu milik iaitu RM180,000,” katanya ditemui, di sini, semalam.

Katanya, jualan enam unit hartanah oleh SPNB Aspirasi bernilai lebih RM1.8 juta diikuti Oriental Interest Group juga enam unit melebihi RM1 juta dan masing-masing satu unit melalui Irama Jaya Group, Aman Setia dan Sunsuria Berhad yang bernilai RM498,000, RM264,000 serta RM385,000.

“Rata-rata pempamer khususnya pemaju berpuas hati apabila matlamat utama untuk mengetengahkan pelbagai hartanah bagi membolehkan pengunjung memilih dan mencari kediaman masing-masing tercapai.

“Kita jangka jumlah jualan akan meningkat lagi kerana ramai yang menetapkan temu janji baru bagi membincangkan lebih lanjut mengenai rumah yang diidamkan kerana ada yang tidak membawa dokumen sokongan dan wang deposit,” katanya.

Kedah adalah destinasi ketiga MyRumah 2017 selepas penganjuran di Balai Berita NSTP di Bangsar pada Mac lalu dan Komtar JBCC di Johor Bahru pada Mei lalu.

Antara pemaju yang terbabit sebagai pempamer ialah Aman Setia Group, Belleview Group, Bina Darulaman Berhad (BDB), Irama Jaya Group, Oriental Interest Group, OSK Property Group, Paramount Properties, Sunsuria Berhad dan SPNB Aspirasi.

Manakala, pempamer bukan pemaju pula terdiri Aman Central, Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, Cuckoo, Grab, LG, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lepro System Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 9:41 AM