DANISH Haikal menerima Anugerah Presiden daripada Tuanku Hajah Haminah, semalam.
DR Mohd Shukri (tengah) bersama graduan selepas majlis konvokesyen ke 21 MSU, semalam.


Shah Alam: “Sentiasa ingat ibu bapa yang bersusah payah membesarkan kita. Mereka banyak berjasa pada kita,” kata Danish Haikal Asman, 19, ketika berkongsi rahsia kejayaannya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 pada Majlis Konvokesyen ke-21 Management & Science University (MSU), di sini semalam.

Menurutnya, dia sentiasa mengingati pengorbanan ibu bapa yang bersusah payah membesarkannya dan beringat serta belajar bersungguh-sungguh hingga melayakkannya menerima Anugerah Presiden pada majlis konvokesyen semalam.

“Sama ada susah atau senang sepanjang belajar, saya sentiasa meletakkan ibu bapa di tempat yang pertama. Ia menguatkan saya untuk belajar dan mendapat CGPA 4.0 pada setiap semester,” katanya.

Majlis disempurnakan Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun selaku Canselor MSU.

Turut hadir Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor Mohamad Azmirul Hazny Abd Hafiz, 23, berkata, dia tidak percaya dipilih menerima anugerah itu.

“Sepanjang belajar saya hanya buat yang terbaik. Saya langsung tak mengejar anugerah.

“Sepanjang empat tahun di MSU, saya ambil kata-kata Presiden yang selalu mengingatkan realiti di luar sangat kompetatif,” katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelaburan (Kepujian) yang memperoleh CGPA 3.78 kini bekerja di Schlumberger sebagai Akauntan Pengurusan.

Pada majlis berkenaan, MSU turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains Farmaseutikal kepada Presiden Josai International University (JIU) Jepun, Profesor Dr Kenji Sugibayashi di atas sumbangan beliau memacu perkembangan dalam bidang pendidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Seramai 55 graduan MSU menerima Anugerah Akademik dan Anugerah Industri, semalam dan 1,871 graduan diraikan dalam tiga sidang majlis konvokesyen mengikut Fakulti dan Pusat Pengajian masing-masing sepanjang dua hari yang berakhir hari ini.

Pada majlis konvokesyen itu, 35 graduan dianugerahkan doktor falsafah, 42 dianugerahkan ijazah sarjana, 883 menerima sarjana muda dan 911 menerima diploma masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 9:52 AM