GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RANG Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2016 (Akta 164) akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat esok.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, RUU 164 itu menggantikan RUU yang sama dibentangkan pada November tahun lalu.

Kata beliau, kerajaan sudah meminda RUU itu untuk dibacakan kali pertama dan dibahaskan dalam sidang kali ini dengan mengugurkan Fasal 88A.

"Penarikan balik RUU yang dibentangkan pada November itu dibuat supaya tidak berlaku percanggahan dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Langkah itu juga di ambil selaras dengan prinsip doktrin stare decisis (terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi) yang mana keputusan mahkamah tertinggi mengenai pentafsiran Fasal (4) Perkara 12 adalah terikat," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Azalina lagi, notis pemberitahuan RUU yang baru itu sudah pun dihantar kepada Dewan Rakyat.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan berharap semua pihak mengambil perkara ini secara positif demi memelihara prinsip kemajmukan bangsa dan agama dalam kalangan rakyat di negara ini.

" Justeru semua pihak diharap menyokong RUU baharu ini dan tidak mempolitikan isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 3:55 PM