Sebanyak 15 tong LPG ditemui dalam bot disyaki disyaki cuba diseludup ke negara jiran. - Foto NASRAWATI SYARIFUDDIN
Nasrawati Syarifuddin
am@hmetro.com.my


JURAGAN sebuah bot gagal menyeludup keluar 15 tong gas petroleum cecair (LPG) selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Pelabuhan Tawau, hari ini.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, ketika anggota PPM Tawau menjalankan Op Paradise di kawasan laut Pelabuhan Tawau, anggota terserempak dengan sebuah bot yang mencurigakan menuju ke arah Pulau Sebatik, kira-kira 11 pagi

"Anggota PPM Tawau menahan bot itu dan pemeriksaan lanjut menemui 15 tong LPG dalam bot berkenaan.

"Pemeriksaan seterusnya mendapati juragan gagal menunjukkan dokumen atau lesen perniagaan dan lesen kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa barangan terkawal berkenaan yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran," katanya hari ini.

Menurutnya, juragan berusia 71 tahun bersama barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

"Semua rampasan termasuk tong gas, bot dan enjin bernilai RM30,2500.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 4:14 PM