Mimi Sharmila Che Husain, 22, (dua kiri) ditemani ibunya, Hasimah Ismail, 56, (kanan) ketika operasi mencari suaminya, Mohd Zawawi Mohamed, 27, di Kuala Dungun. - Foto ROSLI ILHAM
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


OPERASI mencari tiga lagi nelayan yang masih hilang selepas bot mereka terbalik di Kuala Dungun, akan dilanjutkan sehingga Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, tiada petunjuk baru diperolehi pihaknya selepas operasi mencari dimulakan sejak Khamis lalu.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha, termasuk selaman, tinjauan udara dan pencarian di pesisir pantai sejak kejadian Rabu lalu.

Katanya, khidmat dua anjing pengesan juga turut digunakan,

“Operasi akan diteruskan sehingga Rabu ini dan selepas itu, bergantung kepada keadaan sebelum keputusan lanjut diambil.

"Bagi operasi hari ini, kita melakukan pencarian sejauh 30 kilometer dari lokasi kejadian hingga ke perairan Kerteh, Kemaman.

"Sebahagian anggota operasi juga melakukan pencarian di sekitar Merchang hingga ke Pulau Kapas di Marang," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat nelayan hilang selepas bot gentian kaca dinaiki mereka ke Jeti Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Mayat seorang daripada mereka, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui Jumaat lalu.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 8:36 PM