ANGGOTA APM dengan bantuan anggota polis dan orang awam berjaya menangkap buaya seberat kira-kira 300 kg di ladang sawit di Sukau, Kinabatangan, hari ini. FOTO ihsan APM
Hazsyah Abdul Rahman


BUAYA seberat kira-kira 300 kilogram (kg) ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di ladang sawit di Sukau, Kinabatangan, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari, reptilia sepanjang lebih lima meter itu ditangkap ketika berkeliaran di kawasan ladang berkenaan.

Pegawai APM Zon Sandakan Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran buaya di ladang itu daripada seorang lelaki berusia 30 tahun pada 12.38 tengah hari.

"Sebaik menerima laporan, enam anggota daripada APM Kinabatangan dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati buaya berkenaan berada di kawasan ladang kelapa sawit.

"Usaha menangkap haiwan itu segera dilakukan dengan bantuan anggota polis dan orang awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Roslan berkata, pihaknya menggunakan peralatan seperti tali untuk mengikat dan selimut untuk menutup mata buaya berkenaan.

"Langkah awal, kami menjerat buaya itu dengan kaedah memasukkan tali ke dalam rahangnya (penjerat) lalu menutup mata haiwan menggunakan selimut.

"Selepas keadaan selamat, anggota melompat ke atas badan dan mendongakkan mulut untuk mengikat rahang dan kedua kaki sang bedal berkenaan

"Reptilia itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi menangkap buaya itu selesai pada 4.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 9:35 PM