Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Cubaan sekumpulan lima ahli sindiket along melarikan diri ke Thailand sebaik mengetahui markas rakan sindiket mereka digempur polis tidak berjaya apabila semua mereka ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam, Kedah, Rabu lalu.

Lima yang ditahan itu adalah antara 29 ahli dari empat sindiket along yang berjaya dilumpuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam operasi bermula 30 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah JSJK, Datuk A Thaiveegan berkata, serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah menahan 27 lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 48 tahun, termasuk dua ketua daripada sindiket berasingan.

Menurutnya, satu kumpulan cuba melarikan diri ke Thailand sebaik mengetahui polis giat menggempur sindiket along.

“Namun, cubaan mereka tidak berjaya apabila pergerakan mereka dihidu polis dan menahan semua ahli sindiket itu di CIQ Bukit Kayu Hitam. Ketika ditahan, mereka sedang menjalani proses dokumentasi dengan Jabatan Imigresen,” katanya ketika sidang media, di sini semalam.

Thaiveegan berkata, sindiket ini berasal dari Johor Bharu dan mula bergerak mencari pasaran serta pelanggan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, empat sindiket yang dilumpuhkan ini adalah kumpulan yang berbeza, namun polis masih mencari kaitan serta rangkaian pergerakan mereka.

“Sebanyak 30 mangsa terbabit dengan sindiket ini dengan pinjaman lebih RM535,000. Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai telefon pintar, kad mesin pengeluaran wang (ATM), komputer riba, buku bank, 153 cek pelbagai bank dan dokumen pinjaman along,” katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket ialah mengedarkan risalah pinjaman wang melalui laman sosial Facebook (FB) dan mereka yang berminat disyaratkan memberikan dokumen seperti salinan kad pengenalan, slip gaji, serta cagaran aset.

Katanya, faedah dikenakan sebanyak 10 hingga 15 peratus dengan pinjaman perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

“Semua transaksi pinjaman dan pembayaran wang dibuat menerusi perbankan Internet. Sekiranya gagal membuat pembayaran, mereka akan diugut, khianat harta benda serta menggunakan kekerasan terhadap peminjam,” katanya.

Katanya, suspek direman bermula hari ini hingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:17 AM
THAIVEEGAN menunjukkan barangan yang dirampas dalam serbuan berasingan di markas along.