Dari kiri Siti Rohana, Siti Nor Hidayatidayu, Nik Abdullah, Mohd Azalie, Hazira dan Nor Amalina pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan 2016 (MAKK 2016) di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.
Dari kiri Siti Rohana, Siti Nor Hidayatidayu, Nik Abdullah, Mohd Azalie, Hazira dan Nor Amalina pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan 2016 (MAKK 2016) di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.

Kota Bharu: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) memenangi tujuh anugerah pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan 2016 (MAKK 2016) anjuran Kelab Media Kelantan (KEMUDI), malam kelmarin.

Wartawan sambilan Berita Harian (BH) Nor Amalina Alias memenangi tempat pertama kategori Berita Sukan Terbaik menerusi artikel Cungkil Bakat OKU, manakala wartawan sambilan Harian Metro (HM), Hazira Ahmad Zaidi pula memenangi tempat kedua Kategori Rencana Terbaik menerusi artikel Buta Mata Celik al-Quran.

Bagi Kategori Berita Am, wartawan HM Siti Nor Hidayatidayu Razali memenangi tempat keempat (Bahagia di Kolong) dan tempat kelima oleh wartawan sambilan BH Siti Rohana Idris (Terapi Tawa).

Tempat pertama kategori itu dimenangi Utusan Malaysia menerusi artikel Jaja Nama Sultan.

Turut unggul, jurukamera TV3 Mohd Azalie Mohd Ayob yang memenangi tempat kedua kategori Laporan Khas TV Terbaik dan jurukamera sambilan TV9, Ahmad Faris di tempat kedua Berita TV Terbaik. RTM memenangi tempat pertama kategori ini dengan Peneroka Haram.

Jurugambar sambilan The New Straits Times Press (NSTP) Nik Abdullah Nik Omar menang tempat ketiga kategori Foto Terbaik menerusi Perahu Rezeki, dengan tempat pertama kategori itu dinobat kepada jurugambar BERNAMA, Shahuri Awang.

Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan plak penghargaan yang disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahaya Mamat dan Presiden KEMUDI Mohd Zailani Abd Rahman.

Terdahulu, ketika berucap, Mustapa berkata, media penting sebagai agen penyampaian maklumat yang telus kepada kerajaan dan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:48 AM