Skip this ad x
LOW (dua dari kanan) melihat Laporan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia Terhadap Ketelusan Dalam Pelaporan Korporat - Menilai 100 Syarikat Senaraian Awam Teratas Malaysia.

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan inisiatif untuk memperluaskan Program Transformasi GLC (GLCT) kepada semua syarikat milik kerajaan (SOE) bagi meningkatkan amalan tadbir urus korporat yang baik, sekali gus mengurangkan kes rasuah dan salah laku dalam syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk meneliti semua amalan tadbir urus dalam SOE sama ada di peringkat kerajaan persekutuan atau negeri selain meneliti peranan dimainkan setiap ahli lembaga pengarah yang biasanya dipegang penjawat awam.

Katanya, Kabinet meluluskan satu struktur untuk mewujudkan satu badan penyelia bagi pelaksanaan inisiatif itu bersama Kementerian Kewangan.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai pengawasan yang tinggi kerana ia syarikat senaraian awam. Ada juga yang tidak disenarai dan saya percaya kita perlu meningkatkan amalan tadbir urus dalam syarikat itu setaraf dengan syarikat senaraian awam.

“Berdasarkan kejayaan dilihat menerusi program GLCT, kita mahu inisiatif itu dilaksanakan kepada semua SOE.

“Usaha ini tidak akan ada penamat dan setiap SOE akan dinilai. Satu ciri biasa yang dilihat ialah ramai penjawat awam dilantik dalam ahli lembaga pengarah memandangkan mereka perlu melihat kepentingan kementerian tertentu bergantung kepada perniagaan yang dijalankan,” katanya selepas melancarkan Laporan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia Terhadap Ketelusan Dalam Pelaporan Korporat - Menilai 100 Syarikat Senaraian Awam Teratas Malaysia di Institut Integriti Malaysia, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 4:43 AM