PIL yaba yang dirampas daripada dua suspek. FOTO Ihsan polis
PIL yaba yang dirampas daripada dua suspek. FOTO Ihsan polis
Muhamaad Razis Ismail


DUA lelaki berusia 21 tahun dan 22 tahun ditahan bersama 582 pil yaba di depan sebuah rumah di Taman Abadi 1, Tanah Merah dekat sini, jam 11.30 malam tadi.

Suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, sebelum itu, pihaknya melakukan pemerhatian di kawasan berkenaan dan mendapati sebuah Proton Satria berhenti di depan rumah terbabit.

“Dua suspek terbabit keluar daripada kereta dan kami terus menahan mereka. Pemeriksaan terhadap suspek berusia 21 tahun menemui bungkusan plastik lut sinar dalam poket depan seluarnya.

“Dalam bungkusan itu, kami menemui tiga paket plastik mengandungi 582 pil yaba,” katanya.

Menurut beliau, suspek dibawa ke IPD Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek negatif, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 4:17 PM