NAJIB bersama Pengerusi China Communication Construction Group Ltd, Liu Qitao (lapan kanan); Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (lima kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (dua kiri); Adnan (enam kiri); Ahmad Razif (empat kiri); Ahmad Yakob (tiga kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar (kiri) melakukan gimik pelancaran. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
am@hmetro.com.my


PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berperanan menjadi titik perubahan minda rakyat selain mampu memendekkan masa perjalanan dari kawasan Pantai Barat ke Pantai Timur.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ECRL menghubungkan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Selangor ke Pengkalan Kubor, Kelantan, hanya mengambil masa perjalanan empat jam berbanding lapan hingga 12 jam menggunakan pengangkutan biasa.

"Projek pembinaan ECRL ini bukan saja memendekkan masa perjalanan malah menghubungkan rangkaian tempat di Pantai Timur dengan kawasan Pantai Barat semenanjung Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah ECRL di Stesen Kota SAS, Kuantan, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob; Kaunselor Negara China, Wan Yong; Timbalan Menteri Luar China, Zhang Min, dan Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Najib berkata, kerajaan turut optimis projek mega bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer itu mampu disiapkan pada 2024.

Beliau turut yakin dengan kemampuan syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Chinese Communications Construction Company Ltd (CCCC) yang akan menjayakan projek memberi kebaikan kepada rakyat dalam tempoh ditetapkan.

"Jika projek ini dapat disiapkan sebelum tiba masanya ia lebih baik. Projek ini adalah projek berteraskan rakyat dan kita sasarkan 5.4 juta penumpang serta 53 juta tan kargo menggunakan ECRL setiap tahun mulai 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 5:20 PM