Laporan Harian Metro, semalam.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan yang hilang selepas bot mereka karam di Kuala Dungun minggu lalu, diperluaskan sehingga 90 Batu nautika bermula dari muara Kuala Dungun sehingga ke Pulau Redang.

Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mamu Said Alee berkata, pasukan SAR mengambil keputusan melanjutkan lagi operasi pencarian selepas mengambil kira kebarangkalian mangsa ditemui.

"Mengikut SOP (prosedur operasi standard) jabatan, operasi SAR sepatutnya ditamatkan selepas tujuh hari operasi diaktifkan.

"Namun selepas mengambil kira situasi dan kebarangkalian untuk mangsa ditemui, kita membuat keputusan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat ini pada hari kelapan iaitu esok. Bagaimanapun, rondaan operasi tetap dilakukan di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan media di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian membabitkan 138 orang dari beberapa agensi dengan kekuatan dua kapal dan 10 bot selain dua pesawat udara iaitu Bombadier CL 415MP milik APMM dan helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian 10 malam 2 Ogos lalu, empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak.

Mayat seorang daripada mereka, Mohd Nazri Yaccob, 37, kemudian ditemui terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian jam 8.50 pagi, Jumaat lalu.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 27 dan Abdul Wahab Zakaria, 44, manakala Mohd Shazrin Yaccob, 33, yang juga adik kepada Allahyarham Mohd Nazri, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan hampir tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 6:24 PM