Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan JBPM
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

DUA terbunuh termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 17 bulan dalam kemalangan membabitkan kereta dan pacuan empat roda di KM 14 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kampung Renok, Gua Musang, hari ini.

Kejadian berlaku pada 4.20 petang menyebabkan pemandu Proton Wira Muhamad Sobri Mohamad Khairi, 26, maut di tempat kejadian, sementara penumpang Che Muhamad Saifullah Mohd Sapiin meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang.

Manakala, seorang lagi penumpang yang juga isteri Muhamad Sobri berusia 26 tahun dan pemandu Toyota Hilux, 40-an, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, siasatan awal mendapati kereta dari arah Kuala Krai ke Gua Musang dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan pacuan empat roda.

"Pemandu Proton Wira dan penumpang kanak-kanak maut. Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Mohd Zawawi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.27 petang sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba didapati pemandu Toyota Hilux yang cedera sudah diselamatkan orang awam.

"Pemandu kereta Proton Wira yang maut di tempat kejadian dan isterinya mengalami kecederaan parah tersepit di tempat masing-masing.

"Kita mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mereka sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 9:21 PM