Skip this ad x
FAIZAH (tengah) menunjukkan demonstrasi di dalam baby hatch.
Asmah Rusman


Petaling Jaya: “Tiada kata dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu sebaik melihat wajah bayi itu. Saya bersyukur kerana terpilih menjadi bapanya.

“Rutin harian saya dan isteri berubah 360 darjah dengan kehadirannya, malah saya membuat keputusan meninggalkan jawatan pengurus kanan syarikat korporat untuk mengasuhnya sendiri tahun lalu,” kata Mohd Nazri Mat Nawi, 43.

Mohd Nazri yang ditemui pada Majlis Hari Terbuka Yayasan Orphan Care, semalam, berkata, dia gembira kerana keputusan mengambil anak angkat selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga adalah tepat.

“Saya pergi ke beberapa pusat perlindungan menyediakan khidmat mengambil anak angkat namun apa ditawarkan di sini lebih meyakinkan.

“Selain perlu menduduki sesi pemilihan, keluarga angkat perlu melalui pemeriksaan kesihatan, sesi kaunseling dan latihan menjadi ibu bapa sebelum menerima bayi,” katanya.

Menurutnya, ternyata proses itu banyak membantu dirinya menjalankan tanggungjawab dan rutin harian, malah tidak pernah berasa kekok menjadi bapa.

“Sokongan, tunjuk ajar dan sesi kaunseling diberikan membuatkan hubungan anak itu dengan kami rapat bagai darah daging sendiri.

“Kadangkala ada rakan tidak percaya jika saya memberitahu status anak itu yang mencecah usia 21 bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Orphancare Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, sejak 2009, seramai 272 bayi diselamatkan kantung penyelamat atau baby hatch di pusat perlindungan itu.

“Daripada jumlah itu, 172 menerima keluarga angkat masing-masing manakala 100 lagi dijaga ibu kandung mereka selepas diberi kaunseling oleh pihak kami.

“Tahun ini, kami menerima 24 bayi dan dua daripadanya diterima baby hatch Bukit Gasing, Petaling Jaya yang baru dipindahkan dari Kampung Tunku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 5:56 AM