KHALED (tengah) diiringi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday (kanan) dan Pengarah Gunung Impian Development, Tan Sri A Razak Ramli (kiri) melihat rumah contoh RMMJ ketika majlis pecah tanah. FOTO Hairul Anuar Rahim
KHALED (tengah) diiringi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday (kanan) dan Pengarah Gunung Impian Development, Tan Sri A Razak Ramli (kiri) melihat rumah contoh RMMJ ketika majlis pecah tanah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMBINAAN Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) tidak berasaskan kepentingan politik dan tidak memilih lokasi pembinaan mengikut kecenderungan politik rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri lebih menfokuskan kepada memastikan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera.

"Kita tidak buat ini (RMMJ) berasaskan kepada kepentingan politik. Kita ingin pastikan rakyat keseluruhannya dalam keadaan yang sejahtera, tidak kira apa kecederungan politik dia," katanya ketika sidang media pada Pelancaran Skim RMMJ Zon 2B4, Taman Impian Emas dekat Skudai, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday; Pengarah Gunung Impian Development Sdn Bhd (GIDSB), Tan Sri A Razak Ramli; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, Mohd Halim Hasbullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Adib Azhari Daud.

Selain lokasi RMMJ yang tidak mengira sama ada ia kawasan dimenangi Barisan Nasional (BN) atau tidak, Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga akan terus mengekalkan harga RMMJ serendah RM42,000 hingga RM150,000 dalam usaha untuk terus memastikan semua rakyat negeri ini memiliki rumah.

"Kita akan terus kekalkan harga dan kita tidak ada cadangan untuk ubah. Kita kekalkan harga RM42,000; RM80,000 dan RM150,000 dan saya fikir itu yang paling rendah, kita kekalkan," katanya.

RMMJ Taman Impian Emas yang dilancarkan hari ini akan dibina dan dibangunkan pemaju taman perumahan itu sendiri iaitu GIDSB.

Sebanyak 444 unit rumah bandar (town house) dua tingkat akan dibina dengan keluasan setiap satunya 1,000 kaki persegi selain dilengkapi dengan ciri keselamatan, tempat letak kereta, surau, dewan serbaguna dan taman rekreasi.

Mohamed Khaled berkata, 444 unit RMMJ yang bakal dibina itu adalah sebahagian daripada sasaran kerajaan negeri dalam menyiapkan 60,000 unit RMMJ menjelang 2020.

Katanya, kerajaan negeri sudah menyiapkan 5,248 unit RMMJ pada tahun ini dan akan menyiapkan lagi 14,742 unit pada 2018.

"Sedikit demi sedikit, kita dapat penuhi keperluan masyarakat dan kita sedia maklum permintaan yang masih tinggi dan kita akan terus berusaha.

"Pembinaan RMMJ ini juga adalah satu janji kerajaan dan komitmen walaupun dalam ekonomi yang mencabar, kita tidak pinggirkan soal pembinaan RMMJ," katanya.

FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 2:49 PM