YANG Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan (dua kiri) diiringi adinda baginda, Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan (kiri) bersalaman dengan jemaah haji pada Majlis Penyempurnaan Perlepasan Jemaah Haji Ke Tanah Suci di TH Hotel, Kuala Nerus.
Zatul Iffah Zolkiply


SERAMAI 287 jemaah dari Terengganu berlepas ke Makkah jam 3.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Semua jemaah yang menaiki penerbangan KT44T itu dijangka tiba di Makkah jam 7.15 pagi (waktu Arab Saudi).

Terdahulu, majlis pelepasan jemaah itu disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus.

Terdahulu, baginda dalam titahnya menasihatkan jemaah agar memberi tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat dengan sempurna agar memperoleh haji yang mabrur.

“Jemaah turut diingatkan agar menjaga kesihatan walaupun dalam kesibukan beribadah,” titahnya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Muaz dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji merangkap Timbalan Pengarah Gerakan Musim Haji 1438H, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Pada tahun ini, sebanyak enam penerbangan disediakan untuk membawa seramai 3,609 jemaah dari Terengganu dengan penerbangan pertama semalam manakala penerbangan terakhir dijadualkan pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 2:33 AM