Pak Engku meninggal dunia 9.10 malam hari ini.
Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my


Selebriti Cef popular, Datuk Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih dikenali sebagai Pak Engku, 58, meninggal dunia di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam jam 9.10 malam kerana penyakit kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Pak Engku yang pernah merakamkan dua album, dimasukkan ke hospital itu dua hari lalu dan keadaanya kritikal jam 7 malam tadi.

Difahamkan, jenazah kini dibawa ke rumahnya di Shah Alam dan akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, esok pagi.

Allahyarham meninggal dunia di sisi isteri, Datin Ramziah Samah dan tiga anak-anaknya.

Pak Engku yang juga pemilik Kuzie Catering Sdn Bhd, menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setiap tahun untuk Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana menyediakan juadah untuk 20,000 tetamu.

Kuzie Catering juga menjadi pilihan pihak istana dan juga kalangan kenamaan untuk majlis perkahwinan dan rumah terbuka.

Malah, selebriti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani, Irma Hasmie serta Awal Ashaari turut menggunakan khidmat katering Pak Engku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 11:13 PM