Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul@hmetro.com.my


SEKURANG-kurangnya 249 kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 17 tahun yang berpeleseran di sekitar KLCC ditahan dalam Op Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, malam tadi.

Operasi yang bermula kira-kira 3 petang, Sabtu, dan berakhir kira-kira 10 malam itu, membabitkan empat pegawai dan 70 anggota dari IPD Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata operasi dibuat susulan aduan kehadiran kumpulan remaja yang dikatakan mengganggu keselamatan awam terutama pelancong di sekitar kawasan terbabit.


FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kumpulan remaja terbabit, pihaknya merampas lima pisau dan satu buku lima yang disyaki digunakan mereka untuk melakukan kegiatan jenayah selain pil Erimin 5.

"Turut ditemui sepaket dadah disyaki jenis syabu yang dipercayai dibuang remaja terbabit ketika operasi dijalankan.

"Operasi ini akan diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain dalam Daerah Dang Wangi terutama di Bukit Bintang kerana kawasan itu turut menjadi tumpuan pelancong," katanya.

Mohd Sukri berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada mereka ini menganggotai kumpulan berideologi punk, skinhead dan raver.

"Tujuan kita melakukan operasi ini adalah kerana mahu wujudkan suasana aman apatah lagi dengan temasya Sukan SEA, minggu depan.

“Saya juga menyeru supaya remaja ini menjaga tingkah laku serta menghormati orang lain," katanya.

Katanya, semua remaja dan kanak-kanak terbabit dibawa ke IPD Dang Wangi bagi tujuan dokumentasi dan ujian air kencing.

"Semakan akan turut dibuat bagi mengenal pasti sama ada di antara mereka terbabit dengan kegiatan jenayah sebelum diserahkan kepada ibu bapa masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 12:35 AM
FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor