Anggota tentera dan polis menunggu proses bedah siasat di Unit Forensik HTJ. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


DUA anggota tentera maut manakala dua cedera selepas Proton Waja dinaiki terbabas di Kilometer 267.2 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Seremban, pagi hari ini.

Mangsa yang maut dikenali Anwar Shaari, 23, dan Amirul Zulkhairi Ismail, 24.

Difahamkan mangsa bertugas sebagai tentera darat di Port Dickson dan Johor Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam kejadian 2.32 pagi itu, mereka dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak menghala ke Kem Tentera Port Dickson.

"Siasatan mendapati kereta hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan menyebabkan pemandu serta seorang penumpang tercampak keluar.

"Kedua-dua mangsa itu disahkan meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi penumpang cedera ringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk bedah siasat manakala dua yang cedera dirawat sebagai pesakit luar.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:57 AM