Anggota SPRM membawa Boon Poh ke Pusat Khidmat Sungai Puyu untuk mendapatkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan di Butterworth, Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Alor Setar hari ini, menolak permohonan semakan bagi membatalkan tempoh reman lima hari ke atas Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown semalam, susulan siasatan terhadap operasi sebuah kilang haram di atas tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujah pihak Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam bela.

Hashim berkata, selepas melakukan pertimbangan dan mendengar hujah, permohonan terbabit sepatutnya difailkan di Pulau Pinang.

"Saya dapati Mahkamah Tinggi Pulau Pinang adalah forum yang lebih sesuai," katanya.

Peguam Boon Poh berpendapat keputusan reman yang dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Georgetown, Ameera Mastura Khamis tidak teratur dan tidak sah kerana keputusan dibuat tanpa mendengar hujah peguam yang mewakili Boon Poh, pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Jumaat lalu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan terhadap operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu.

Ia susulan serbuan dijalankan SPRM bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kilang memproses habuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon, Khamis lalu.

Penahanan Boon Poh itu dibuat berdasarkan beberapa surat arahan sama yang dikemukakan dan ditandatangani beliau kepada pihak berkuasa untuk menangguhkan sebarang tindakan dikenakan ke atas pengarah dan pengurus kilang haram terbabit pada tahun lalu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala Boon Pooh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala Dev Kumareandan mewakili pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Semalam, Boon Poh bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang ditahan reman selama lima hari bermula semalam susulan siasatan terhadap operasi sebuah kilang haram di atas tanah pertanian di Sungai Lembu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:46 PM