Mohamed Khaled menyampaikan replika kunci rumah kepada pemilik rumah sambil diperhatikan Md Jais (kiri), Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (kanan) dan Pengarah Urusan PIJ Holdings, Rozan Mohd Sa'at (dua dari kiri) ketika majlis penyerahan kunci RMMJ kepada pemilik TPI Datin Halimah dan Majlis Cabutan Undi Pakej A TPI Stulang Baru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


KERAJAAN Johor menggalakkan semua permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dibuat secara dalam talian bagi mengelak berlakunya pertindihan antara permohonan manual dan dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, setakat ini, kerajaan negeri menerima 170,000 permohonan pemilikan RMMJ yang dibuat menerusi dua sistem iaitu manual dan dalam talian.

Bagaimanapun, katanya, jumlah yang dilihat agak tinggi itu dipercayai kerana berlakunya pertindihan permohonan melalui kedua-dua sistem berkenaan.

"Data ini dipercaya ada pertindihan antara sistem manual dan dalam talian kerana pada awal 2016 semua permohonan dibuat secara dalam talian.

"Mereka yang memohon secara manual dengan mengisi borang sebelum ini mempunyai tempoh sah selama lima tahun.

"Jadi, kemungkinan ada berlaku pertindihan antara dua sistem permohonan ini tetapi Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor (Bahagian Perumahan) ada membantu mereka yang memohon secara manual untuk menukar kepada sistem dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci RMMJ Taman Perbadanan Islam (TPI) Datin Halimah dan Majlis Cabutan Undi Pakej A TPI Stulang Baru di Johor Bahru, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Md Jais berkata, sejak akhir-akhir ini, pihaknya menerima aduan berhubung permohonan yang sudah dibuat sekian lama tetapi tidak ditawarkan rumah.

Beliau berharap supaya pemohon tidak salah faham terhadap pemilihan yang dibuat.

"Mereka yang memohon secara manual sebelum ini tempoh sah permohonan itu adalah lima tahun, manakala bagi permohonan atas talian, ia hanya sah selama setahun.

"Selepas tempoh ini tamat, permohonan perlu diperbaharui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:38 PM