Najib (tengah) menerima hadiah seekor kucing bernama ‘Korya’ daripada Mas Ermieyati (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Zahid (dua dari kiri), Idris (kiri) serta Ab Rauf di Durian Daun, Masjid Tanah. FOTO Rasul Azli Samad
Salman Hamat dan Nursaliawati Salberi
am@hmetro.com.my


DATUK Seri Najib Razak sekali lagi menyatakan keyakinannya terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden walaupun ada pihak cuba melaga-lagakan mereka.

Menjelaskan perkara itu Perdana Menteri berkata, mereka berdua mempunyai hubungan peribadi yang agak lama dan bukan bermula ketika masing-masing dilantik ke jawatan sekarang.

"Hubungan antara kami bermula sejak 1986 lagi, tapi tak ramai orang yang tahu mengenai perkara ini dan kami pernah merasa susah senang bersama-sama.

"Kenal hati budi menjadikan kami serasi untuk tadbir negara dan saya tak perlu lagi toleh ke belakang kerana yakin dengan Ahmad Zahid yang bersama-sama mahu bawa negara menjadi negara kelas dunia disanjung tinggi dan dipandang mulia seantero dunia," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah 2017, Karnival Rakyat dan Pusat Tamadun Islam Parlimen Masjid Tanah di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Durian Daun Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ahmad Zahid, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Idris Haron.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:55 PM