Status terkini Man Tyson selepas polis menjawab dakwaannya.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menafikan ada unsur rasuah dalam siasatan kemalangan seorang lelaki seperti dakwaan mangsa yang dikenali sebagai Man Tyson melalui laman Facebook (FB) miliknya.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya sudah mengeluarkan saman terhadap wanita yang melanggar lelaki berkenaan dalam kejadian pada 7 Mac lalu yang menyebabkan mangsa (Man Tyson) mengalami patah kaki kiri.

"Siasatan sudah dijalankan dan semakan dalam sistem maklumat kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kereta yang melanggar mangsa tamat tempoh cukai jalan dan insuran.

"Hasil siasatan juga mendapati kemalangan akibat kecuaian pemandu wanita terbabit, namun dakwaan yang mengatakan wanita berkenaan memandu dalam keadaan mabuk tidak mempunyai bukti yang kukuh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi 7 Mac lalu, mangsa dikatakan sedang menjaga lalu lintas bagi kerja penyelenggaraan berhampiran Stesen Monorel Maharajalela dikatakan dilanggar wanita terbabit.

Mangsa tampil memuatnaik satu status di laman Facebook mendakwa tidak mendapat pembelaan akibat daripada kejadian itu kerana tidak dapat berjalan selain mendakwa mengalami kerumitan untuk bekerjasama dengan pengawai penyiasat (IO).

Dalam status yang dimuatnaik 10 Ogos lalu itu juga mendakwa IO yang mengendalikan kes berkenaan menerima pemberian daripada wanita yang melanggarnya.

Mohd Nadzri berkata, dakwaan IO menerima hadiah daripada pemandu wanita terbabit adalah tidak benar sama sekali berikutan tindakan saman dikeluarkan kepada wanita itu pada 8 April lalu.

"IO mengeluarkan dua saman kepada pemandu di bawah Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah lalulintas 1959 bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

"Pihak polis sentiasa mengalu-alukan laporan oleh sesiapa sahaja dan tidak menolak sebarang laporan yang dibuat. Sebarang tuntutan sivil terhadap pemandu yang melanggar boleh dilakukan walaupun cukai jalan dan insuran tamat tempoh," katanya.

Sementara itu, Man Tyson dalam reaksinya di FBnya berkata, “Alhamdulillah selepas viral baru ada respon..Terima kasih PDRM ..dan saya ingin memohon maaf kepada Polis Di Raja Malaysia kerana niat saya bukan ingin memburukkan nama seluruh anggota..tetapi saya hanya tidak terima di perlakukan sebegini..

“Ini baru adil..sekali lagi saya ingin memohon maaf dan jutaan terima kasih kepada pihak atasan..terima kasih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:56 PM