KEADAAN motosikal mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5.5 Jalan Kluang-Teck Wah Heng kira-kira 10 malam semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


WANITA yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari bandar Kluang ke rumahnya di Kampung Mengkibol, Kluang maut selepas parah di kepala akibat terjatuh dari motosikalnya dalam kejadian di Kilometer 5.5 di Jalan Kluang-Teck Wah Heng, 10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, mangsa S Telaga, 26, yang menunggang motosikal seorang diri maut di tempat kejadian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa gagal mengawal kenderaannya akibat bergesel dengan kereta yang datang dari belakang.

"Hasil daripada pemeriksaan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan dua lorong itu dalam keadaan gelap kerana tiada lampu jalan dan berkemungkinan pemandu kenderaan tidak dapat melihat dengan jelas motosikal dipandu mangsa," katanya.

Katanya, pemandu kereta yang hanya mengalami kecederaan ringan ditahan untuk diambil keterangannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar," katanya ketika dihubungi.

Muhamad berkata, mayat mangsa dituntut keluarga untuk urusan pengkebumian awal pagi tadi.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil untuk menyalurkan maklumat," katanya.

KEADAAN motosikal milik S Telaga selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5.5 Jalan Kluang-Teck Wah Heng kira-kira jam 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 8:37 PM