Suar antara yang dibaling ketika program "Nothing To Hide 2.0" anjuran Angkat Muda Bersatu Malaysia (ARMADA) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam. FOTO Mohd Asri Sarifuddin Mamat
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


TIGA remaja lelaki ditahan polis selepas menimbulkan kekecohan pada Forum Nothing to Hide 2.0 yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad di Seksyen 7, Shah Alam hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, tiga remaja lelaki yang ditahan itu berusia 17, 18 dan 19 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan orang awam yang menghadiri program berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

"Remaja berusia 18 dan 19 tahun itu adalah penuntut kolej swasta manakala seorang lagi sudah berhenti sekolah.

"Kita memandang serius perkara ini dan akan membuat siasatan lanjut," katanya.

Forum yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan itu tegang apabila Dr Mahathir enggan menjawab soalan seorang hadirin yang bertanya sama ada sabitan kes liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri itu adalah benar atau hanya bermotifkan politik.

Ia menjadi lebih tegang selepas penonton meminta bekas perdana menteri itu mengulas lanjut mengenai kejadian Memali di Kedah pada 1985.

Namun, Dr Mahathir tidak mendapat peluang untuk menjawab soalan disebabkan provokasi sebelum ada individu membaling kasut, selipar dan botol minuman ke arahnya.

Selain itu, keadaan menjadi kecoh apabila ada individu membaling kerusi dan suar ke arah penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 9:05 PM