Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


DUA yu paus muncul selama tiga jam di Pantai Sura Hujung, Dungun, Isnin lalu.

Kemunculan yu paus di perairan itu disedari peniaga ikan, Rashid Roslan, 19, yang sempat merakamkan video spesies berkenaan.

"Saya terserempak dengan dua ekor yu paus berkenaan yang muncul kira-kira 100 meter saja dari daratan.

"Yu paus itu muncul agak lama iaitu kira-kira tiga jam untuk memakan udang baring di kawasan berkenaan sebelum berlalu pergi," katanya ketika ditemui Harian Metro di Dungun, hari ini.

Rashid berkata, sehari sebelum itu, dia dimaklumkan spesies terbabit mencari makan di kawasan Kerteh Terminal.

"Saya dimaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui yu paus terbabit ketika melakukan operasi mencari tiga nelayan yang hilang di situ," katanya.

Sementara itu,Pengarah Jabatan Perikanan negeri Terengganu,Zawawi Ali berkata, ikan itu jarang muncul berhampiran pantai.

"Kebiasaannya spesies terbabit mempunyai makanan mencukupi di tengah laut dan tidak mudah datang ke kawasan pantai.

"Mungkin ketika itu, spesis terbabit menyedari banyak terdapat kumpulan udang kecil termasuk ikan bilis di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 9:11 PM
Rashid menunjukkan lokasi dua yu paus yang ditemuinya di Pantai Kampung Sura Hujung. FOTO Rosli Ilham
Yu Paus yang ditemui di Pantai Sura Hujung, Dungun, Isnin lalu.