Lima belas ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Apachee diburu. FOTO ihsan PDRM
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com

my

SELEPAS 28 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Apachee ditahan dalam Ops Regimen Khas mulai 17 Julai lalu, polis Selangor kini memburu 15 individu dipercayai ahli kumpulan berkenaan bagi membantu siasatan berhubung gangsterisme.

Lima belas individu berkenaan adalah A Sivabala, 30; M Komandass, 37; R Ragunathan, 27; P Vellasamy, 35; A Sinakaruppan, 29; K Murugan, 40; N Hilavarasan, 25 dan G Prabakaran, 32. Turut dicari A Ramakrishnan, 32; A A Parameswaran, 37; P Jayanathan, 39; LJ Sathiya Seelan, 34; M Thilip Kumar, 32; S Harvindran, 21 dan R Suthagar, 39.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, kumpulan itu terbabit dalam aktiviti jenayah seperti bunuh, samun, culik, pengedaran dadah dan memeras ugut kawasan tapak projek serta pusat hiburan.

"Selain itu, mereka juga dikesan merekrut pelajar sekolah sekitar Klang bagi menyertai kumpulan kongsi gelap terbabit," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program polis Selangor dan komuniti bersama memerangi jenayah di Sekolah Rendah Sri KDU Kota Damansara, hari ini.

Hadir sama Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor, Wahida Zainal Abidin.

Mazlan berkata, pihaknya berjaya mengesan sembilan ahli kumpulan itu yang kini berada dalam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh atas pelbagai kesalahan membabitkan jenayah lain.

Beliau berkata, hasil penahanan itu 33 ahli kumpulan berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Klang, esok.

"Semua suspek sebelum ini ditahan selama 29 hari mengikut 4(5) Akta Kesalahan dan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA dan akan didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 130W KK kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang atau membantu kumpulan jenayah terancang.

"Lebih 100 anggota polis akan dikerahkan bagi mengiringi suspek dari Penjara Sungai Buloh dan Kajang untuk ke Mahkamah Sesyen Klang sebagai langkah keselamatan," katanya.

Beliau berkata, selain mengambil tindakan mengikut SOSMA, pihaknya juga mengambil tindakan di bawah Undang Undang Pencegahan POCA terhadap beberapa individu yang terbabit dalam kumpulan kongsi gelap dan jenayah lain.

Katanya, dari Januari hingga Julai lalu, seramai 266 orang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) oleh JSJ Selangor dan ia tertinggi di negara ini.

Pada 20 April lalu sekumpulan pelajar di beberapa sekolah di Klang mengadakan upacara memotong kek dihiasi angka 24 di perkarangan sekolah.

Pada 8 Mei lalu, 52 remaja termasuk seorang penuntut kolej yang dipercayai terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Klang atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 9:26 PM