Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


HUJAN lebat berterusan selama dua jam sejak 4.30 petang hari ini, mengakibatkan kejadian tanah runtuh dari atas bukit di belakang pusat beli belah di Jalan Lintas, Kota Kinabalu.

Kejadian kira-kira 5 petang itu menyebabkan dua kereta yang parkir di kawasan berkenaan rosak.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Peniaga kain, Hanafi Zainudin, 37, berkata, ketika kejadian dia baru keluar dari pusat beli-belah berkenaan sebelum dikejutkan dengan insiden tanah runtuh itu.

"Ketika melangkah keluar menuju ke kereta berhampiran lokasi runtuhan, saya terdengar bunyi dentuman kuat yang pada mulanya disangka guruh.

"Namun saya terkejut apabila melihat pokok dari atas bukit mula bergerak sebelum disusuli tanah dan lumpur meluncur deras menimpa dua kereta yang sedang parkir di belakang pusat beli-belah berkenaan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang laporan diterima mengenai kejadian berkenaan.

"Untuk makluman, kita tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden tanah runtuh di Jalan Lintas atau mana-mana kawasan di sekitar Kota Kinabalu pada hari ini.

"Bagaimanapun memang terdapat beberapa kawasan yang dinaiki air akibat banjir kilat pada petang ini dan pemantauan rapat juga giat dijalankan sebagai persiapan menghadapi sebarang insiden kecemasan," katanya.

Video kejadian tanah runtuh selama satu minit itu turut menjadi tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 9:47 PM
PETIKAN video tular yang dimuat naik oleh pengguna Facebook mengenai kejadian tanah runtuh di belakang pusat beli- belah, di Jalan Lintas, hari ini.