Banjir di Jalan Gua Musang - Lojing dekat Pos Blau menyebabkan jalan itu kepada semua kenderaan. FOTO ihsan APM
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


JALAN Gua Musang-Lojing di Kilometer 185 dekat Pos Blau,Gua Musang terpaksa ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air setinggi tiga meter pada 6 petang hari ini .

Kejadian berikutan hujan lebat selama tiga jam menyebabkan Sungai Brooke di sini melimpah ke jalan sepanjang 500 meter.

Berpuluh-puluh kenderaan turut terkandas berikutan tiada jalan alternatif lain.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang, Fadhlil Wafi Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.

" Lokasi itu sama dengan kejadian pertama Mei lalu.

"Kita akan pantau kejadian itu sehingga air surut semula sebelum jalan terbabit dibuka kepada semua kenderaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA), Pos Blau, Salleh Angah berkata, kejadian banjir lumpur itu adalah kali kedua di lokasi berkenaan selepas kejadian pertama pada 9Mei lalu.

" Ia berpunca daripada pembukaan tanah tidak terkawal dan mudah berlaku hakisan bukit hingga air bertakung di jalan raya.

"Setiap kali berlaku banjir lumpur di lokasi itu, ia mengambil masa antara tiga hingga lima jam untuk surut semula, itu pun bergantung kepada keadaan hujan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 10:01 PM