MANGSA segera dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


LAPAN sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian di sungai Kampung Lingan Lama, Kabang, Papar, hari ini.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, seorang wanita cedera ketika cuba keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri sebelum dia dan ahli keluarganya diselamatkan penduduk kampung yang melihat kejadian itu.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Papar menggunakan ambulans manakala tujuh lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak selamat.

Difahamkan, semua mereka dalam perjalanan ke inap desa yang terletak di seberang sungai di kampung berkenaan.

Ketika melalui sungai itu, tiba-tiba arus sungai dari hulu menjadi deras sebelum kereta dinaiki semua mangsa dihanyutkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang dan seramai enam anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian dan tiba 39 minit kemudian.

"Kejadian membabitkan sebuah kereta dihanyutkan arus deras ketika melalui sungai berkenaan dan seorang wanita cedera manakala tujuh selamat.

"Mangsa yang cedera kemudian dipindahkan menggunakan pengusung ke ambulans sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan," katanya.

Janil berkata, arus deras sungai dipercayai akibat hujan lebat sejak jam 3 petang.

"Operasi tamat pada 6.13 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:59 PM