Ekhwan Haque Fazlul Haque


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tahan dua bot pukat tunda Vietnam dan 22 awak-awak, 185 batu nautika dari Tanjong Po, Kuching, Khamis lalu.

Bot berkenaan ditahan pada 8.45 pagi oleh kapal KM Cekal yang menjalankan operasi di perairan berkenaan.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, ketika ditahan bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti tunda ganding.

Menurutnya, 10,000 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.

"Kapal berkenaan dipercayai sudah berada diperairan negara antara dua hingga tiga bulan lalu dan mereka akan memindahkan hasil tangkapan kepada kapal induk untuk dibawa ke Vietnam.

"Sehingga Ogos ini, APMM Sarawak sudah menahan 26 bot tunda Vietnam dan ia adalah jumlah tertinggi sejak agensi ini beroperasi 11 tahun lalu," katanya.

Ismaili berkata, pihaknya akan terus memantau kemasukan bot nelayan asing dan memastikan mereka tidak terus mengaut keuntungan dari hasil laut negeri ini.

Katanya, semua awak-awak yang ditahan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 11:35 AM
ISMAILI menunjukkan bot nelayan asing yang ditahan. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque