Muhammad Saufi Hassan


PENGANJURAN dua program interaksi al-Quran iaitu World #QuranHour (WQH) dan Merdeka #QuranHour (MQH) akan berlangsung pada 31 Ogos sempena wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah yang kebetulan serentak Hari Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata, wujud kekeliruan dalam kalangan orang ramai berhubung penganjuran dua program ini.

"Lokasi perdana WQH akan dilaksanakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 31 Ogos bermula 11.30 pagi hari berkenaan.

"Bagi MQH pula, lokasi perdana diadakan di Dataran Merdeka pada hari sama tetapi program bermula 5 petang," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Marhaini berkata, acara Gema Wahyu, iftar dan solat Maghrib berubah lokasi ke Masjid Jamek bagi memberi keselesaan orang ramai dan memberi laluan persiapan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk acara lain yang bermula selepas Isyak.

Beliau berkata, program berkenaan mensasarkan penyertaan lebih 10 juta umat Islam di serata dunia.

"Kempen penganjuran sudah dilaksanakan menerusi media sosial. Mesej ini kita sampaikan di semua platform media sosial dan setakat ini mesej berkaitan program sudah menjangkau 100 juta akaun laman sosial," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, komuniti Islam di beberapa negara antaranya di Korea Selatan dan New Zealand mengesahkan penyertaan.

Antara tokoh dan selebriti yang menyertai program ini adalah Pendakwah Bebas, Datuk Kazim Elias Al-Hafiz, Ameng Spring dan Johan A'saari.

Marhaini berkata, program sama sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan bertujuan menggalakkan umat Islam membaca, memahami, menghayati al-Quran, selain berbincang berhubung kitab suci ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:11 PM